 |
Credit to Kosmo. Aku rembat pic dia |
Sebenar nye, aku copy paste je. Kisah rakyat Somalia. Kesian kat dorang nie. Nie link sumber SOMALIA
KESEDIHAN Sainab Yusuf Mohamed tidak mampu dibendung lagi. Hatinya
pilu dan luluh mengenangkan nasibnya yang kehilangan dua orang anak
kesayangan dalam sekelip mata.
Namun, bagaikan sudah dijangka, naluri keibuannya selama ini sudah
kuat berbisik bahawa masalah kebuluran yang melanda tanah airnya akan
mengancam nyawa anak-anaknya.
“Kami tidak mempunyai bekalan makanan yang mencukupi. Tubuh
anak-anak semakin kurus sehingga menampakkan rangka akibat kekurangan
zat. Saya kasihan melihat keadaan mereka tetapi tidak mampu berbuat
apa-apa.
“Sungguh sedih apabila dalam perjalanan merentas padang pasir yang
kering-kontang bagi mendapatkan bantuan makanan, anak sulung saya
meninggal dunia. Lebih perit, sebaik saja mengebumikan jenazahnya, anak
kedua saya pula menghembuskan nafas terakhir,” luah Sainab dalam nada
bergetar.
Nasib malang Sainab turut dialami oleh Hassan Abdi. Dalam perjalanan
ke kem pelarian, tangan kirinya mendukung cucunya yang kurus kering
manakala tangan kanannya pula menjinjit sebuah beg kain berisi bijirin,
gula dan sebotol minyak masak sumbangan agensi bantuan.
“Perut cucu saya sudah lembik kerana dia mengalami kelaparan
terlampau. Saya fikir stok makanan yang diperoleh ini tidak mencukupi
dan mampu bertahan untuk beberapa hari saja kerana kami perlu berkongsi
dengan tujuh orang ahli keluarga lain,” kata Hassan sambil menunjukkan
perut cucu lelakinya yang berusia lima tahun itu.
Beginilah senario terbaharu di Somalia yang sedang berhadapan dengan
krisis makanan kronik dalam tempoh dua dekad. Krisis kemanusiaan
terburuk pada abad ke-21 itu telah menyebabkan separuh daripada rakyat
tempatan bergelut mendapatkan bantuan makanan bagi meneruskan kehidupan.
Menagih bantuan
 |
CUACA kemarau mengakibatkan rakyat Somalia terpaksa berjalan kaki ke kem-kem pelarian untuk mendapatkan bantuan makanan. |
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menjangkakan krisis kebuluran
berkenaan akan merebak dalam tempoh dua bulan di Somalia sekiranya
tiada bantuan dihulurkan.
Berdasarkan data yang dikeluarkan Unit Analisis Keselamatan Makanan
dan Nutrisi (FSNAU), seramai 3.76 juta rakyat Somalia terpaksa
mengharapkan bantuan kemanusiaan dari segi makanan dan ubat-ubatan.
Oleh kerana tidak tahan lagi untuk menjalani kehidupan di tanah
sendiri yang sudah kehabisan sumber makanan, majoriti rakyat Somalia
sanggup merentas kawasan panas kering dan berkaki ayam di bawah terik
matahari yang mencecah 50 darjah Celsius ke kem-kem pelarian yang
menyediakan makanan.
Malangnya, belum pun sempat menjejakkan kaki di kem berkenaan,
segelintir daripada mereka mati dalam perjalanan terutamanya
kanak-kanak dan bayi. Cuaca panas dan kebuluran antara faktor utama yang
meragut nyawa mereka. Sementara yang berjaya tiba di kem dalam tempoh
24 jam tampak lesu, tidak terurus dan kurus kering.
Dianggarkan secara purata setiap hari, seramai 60 bayi mati akibat
kelaparan dan kekurangan makanan berkhasiat, selain kemusnahan tanaman
dan haiwan ternakan.
Hari ini, Somalia yang terletak di timur Afrika merupakan salah satu
negara yang berhadapan dengan ancaman kemarau dan kebuluran kronik
selain di Habsyah, Djibouti, Sudan dan Kenya.
Berdasarkan statistik Program Makanan Dunia (WFP) mendapati seramai
3.5 juta orang di Kenya, 3.2 juta orang di Habsyah, 2.5 juta orang di
Somalia dan lebih 100,000 orang di Dijbouti terdesak memerlukan bantuan
makanan.
Menurut Ketua Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai
Pelarian (UNHCR), Antonio Guterres, krisis kemarau dan makanan di
Somalia adalah antara yang paling teruk di dunia.
“Sukar diluahkan dengan kata-kata apabila menyaksikan banyak nyawa
terkorban kerana musim kemarau dan panas terik. Saya tidak pernah
melihat kem-kem pelarian sesak dengan orang ramai yang hadir dalam
keadaan terdesak dan tidak bermaya.
“Paling menyedihkan adalah apabila melihat seorang ibu yang
kehilangan tiga orang anak serentak ketika menuju ke kem pelarian,”
jelas Antonio Guterres mengenai satu perempat daripada 7.5 juta orang
Somalia yang membanjiri kem pelarian.
Masalah dalaman
 |
RAKYAT Somalia menunggu giliran mengambil makanan yang disediakan di kem pelarian. |
Menurut Penganalisis Ekonomi dan Pensyarah Kanan Pengurusan
Strategik Kolej Perniagaan, Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Haim
Hilman Abdullah, krisis kebuluran di wilayah Afrika tidak berkesudahan
sekiranya masalah dalaman di negara itu tidak diselesaikan pada kadar
segera.
Selagi isu rasuah, pergolakan politik dan perbalahan rakyat masih
belum diatasi, maka secara tidak langsung ia menyebabkan ekonomi negara
semakin merosot. Semua itu mengakibatkan Afrika kekal tersenarai
sebagai negara mundur dan miskin.
“Selain kacau-bilau, kenaikan harga bahan api dan bahan mentah turut
menyumbang pada krisis kebuluran di beberapa wilayah di Afrika.
“Disebabkan faktor itu, kebanyakan negara maju, badan korporat,
individu dan agensi bantuan terpaksa mengehadkan perbelanjaan stok
bekalan makanan yang ingin diagih-agihkan kepada rakyat Somalia.
“Kos pengangkutan dan penghantaran makanan ke negara itu juga dititikberatkan memandangkan ia melibatkan kos bahan api.
“Bagi rakyat Afrika pula, mereka mengalami kesukaran mengeluarkan
sumber makanan daripada hasil pertanian kerana faktor cuaca yang panas
dan kedudukan geografi,” tambah Haim yang merujuk pada kawasan gurun
dan tanah tandus di Afrika yang tidak sesuai dijadikan tapak pertanian.
Tambah Haim, isu kebuluran di setiap negara miskin dapat diatasi
dengan baik sekiranya negara maju dan membangun seperti Eropah, Amerika
Syarikat (AS), Jepun, Singapura atau negara sedang membangun seperti
Malaysia bijak menguruskan sistem stok makanan dengan baik.
“Pada pandangan saya, daripada stok makanan dibiarkan membazir
begitu saja, lebih baik ia disalurkan pada negara-negara yang
memerlukan,” jelasnya lagi.
Kemarau berterusan
 |
WANITA ini hanya mampu berserah mengenangkan kesihatan badan anaknya yang semakin kurus akibat kekurangan makanan. |
Cuaca panas dan kemarau berpanjangan telah menyebabkan 12 juta rakyat
di beberapa wilayah itu terpaksa berjalan kaki ke kem pelarian bagi
mendapatkan bantuan makanan dan ubat-ubatan.
Dalam pada itu, krisis kemarau tersebut turut mengakibatkan haiwan
ternakan seperti kambing, lembu dan unta terkorban. Jika musim kemarau
lima tahun lepas hanya mengorbankan antara 20 hingga 30 ekor haiwan
ternakan setiap bulan tetapi kemarau tahun ini angka haiwan yang mati
hampir mencecah 50 ekor.
Kehilangan jumlah haiwan ternakan dalam jumlah yang banyak secara
tidak langsung menyebabkan rakyat Somalia kehilangan sumber makanan.
Memetik ramalan saintis Pusat Geologi Amerika Syarikat (USGS), Chris
Funk, menjangka musim kemarau di timur Afrika akan berterusan dalam
tempoh yang sukar dipastikan. Lazimnya, bulan Mac hingga Jun merupakan
musim hujan di Afrika.
“Namun sehingga ke hari ini, tidak menampakkan sebarang tanda-tanda
hujan akan turun malah kadar purata hujan di Somalia mencatatkan di
bawah paras paling rendah.
“Lebih memburukkan keadaan, isu pemanasan global dijangka meningkat
dan faktor ini menyukarkan lagi usaha rakyat Afrika untuk menjalankan
aktiviti bercucuk tanam kerana kekurangan sumber air serta tanah kering
kontang,” jelas Funk.
Setakat ini bagi menghulurkan bantuan makanan kepada rakyat Somalia
yang kebuluran, UNHCR dan kerajaan Habsyah mengambil inisiatif
menyediakan kem di Dolo Ado, Habsyah. Dianggarkan kem berkenaan menerima
hampir 2,000 pelarian baharu setiap hari.
Persekitaran di Somalia bukan saja mempamerkan gelagat kanak-kanak
bermain tanpa menyarungkan seluar malah turut menyaksikan penghuni kem
sentiasa bersesak merebut makanan yang disumbangkan oleh pihak-pihak
tertentu.
Keadaan yang sama turut berlaku di kem Dadaab, Kenya iaitu kem
pelarian terbesar dunia yang kini dihuni kira-kira 382,000 orang
sedangkan ia hanya mampu menampung 90,000 orang pada satu-satu masa.
*Bersyukur lah. Kita masih cukup lagi makanan. Kadang- kadang tu siap terlebih pulak. Sampai di buang makanan tu. Kalau kita rasa susah, ada lagi susah dari kita.
SALAM.